Tuesday, 5 March 2013

Menunggu Keajaiban [or... Just Kill Me Now?]


Sudah lama aku tak kemaskinikan Blog ini. Sejak pulang dari Umrah dan sebelumnya sibuk dengan aktivti Positive Warriors dan terpilih sebagai antara Jawatankuasa yang memperjuangkan hak PLHIV di Malaysia ini membuatkan aku lebih bersemangat. Sebenarnya dalam kesamaran masa depan aku dengan pertubuhan baru ini aku masih rasa gundah dengan persoalan sekuat manakah aku mampu bertahan dalam perjuangan ini. Sebelum ini pun bergiat dalam NGO bukanlah satu perkara asing bagi aku kerana telah terlibat sejak zaman aku berada Universiti lagi. Namun bila ianya berkait dengan mereka yang memerlukan perhatian yang khusus terutamanya sahabat yang tergolong dari kalangan infected dan affected  dari isu isu yang melibatkan HIV terutamanya umat Islam di Malaysia ini membuatkan aku rasa agak terbeban. Kadangkala bila difikirkan kembali betul juga kata Presiden Positive Warriors dalam blognya AKU HIV POSITIF bahawa boleh sahaja kita memilih untuk berjuang dengan cara sendiri dan membantu sahabat sahabat tanpa perlu langsung kita memenatkan diri, menyakitkan kepada dan berhadapan dengan ancaman kesihatan yang entah kan tidak menentu.

Kadang bila sahabat sahabat yang berada dalam kalangan Positive Warriors terutamanya yang baru sahaja didiagnos sebagai PLHIV sering melontarkan pelbagai status di FB secret group mahupun melalui SMS dan Email yang asyik mengeluh kesah dan menulis kesedihan itu dan ini. Kadangkala aku layan dan kadangkala bila dah banyak sangat bercakapnya aku buat tak layan. Bukan apa... Satu persoalannya..
Adakah mereka fikir bahawa aku cukup kuat dalam menghadapi dugaan ini? Aku tidak berperasaankah? Aku langsung tidak memikirkan tentang masa depan dan kesihatan aku kah? Kadangkala segala jenis mesej mahupun posting yang mengajak supaya aku dan kawan kawan lain supaya terus rasa down  dan kalau boleh seperti menyampai maksud "JOM LAH KITA MATI JE BAIK!"

Aku setiap masa dan ketika sering sahaja memberikan nasihat dan teguran dan juga pandangan kepada sahabat sahabat yang rasa sangat down dalam menghadapi mehnah dan dugaan ini. Tapi bagi aku selagi kita memikirkan perkara ini adalah sebagai satu beban dan masalah yang perlu kita nak fikir 24 jam sehari maka ianya akan jadi beban.

Aku boleh sahaja duduk di rumah dan meneruskan minat aku seperti melancong, membaca, menulis, dan terlibat dalam bidang penciptaan lagu dan muzik yang selama ini menjadi darah daging aku. Sudah banyak kali aku sendiri terlepas untuk pergi ke majlis majlis agama mingguan seperti Majlis Talim Darul Murtadza di Setiawangsa KL, bagaimana aku sering sahaja terlepas peluang untuk ke Gym walaupun aku membayar yuran bulanan yang agak mahal (bagi orang seperti aku) untuk meningkatkan taraf kesihatan aku. Tetap aku masih lagi tidak dapat menumpukan perhatian kepada pekerjaan aku, keluarga aku, malah untuk merancang mendirikan rumahtangga pun asyik terkandas hanya kerana aku dikatakan terlalu mementingkan jemaah dan komuniti.

Aku terlalu mementingkan komuniti dari hidup aku dan keluarga? 

Itu soalan yang sering membuat aku rasa seperti terpenggal kepala apatah lagi ditanyakan oleh Ibu dan Ayah aku yang telah pun mengetahui mengenai status kesihatan aku. Bukan sahaja Ibu dan Ayah, housemate aku juga sudah banyak kali meleteri aku tentang ini. Aku faham bahawa mereka risaukan tentang aku dan kehidupanku terutamanya kesihatan aku. Tapi kalau bukan aku dan beberapa sukarelawan dalam bidang ini tidak bergerak, bagaimanakah nasib komuniti kita nanti?

Setiap ummah ada khalifah yang akan muncul.. Dan bagi aku dalam konteks mikro nya pertubuhan yang berlandaskan komuniti terpinggir seperti Positive Warriors, aku yakin ada di kalangannya penjuang yang hebat. Aku pasti aku bukan orangnya tapi aku hanya ingin memberikan apa yang aku mampu dalam perjuangan ini sementara hidup aku masih ada.

Dalam perjuangan ini, ada diantara sahabat sahabat aku yang dilanda dugaan dan mehnah hingga ada yang tersungkur dan mula dilanda pelbagai masalah... Aku sering memahami bahawa apa yang mereka lalui mungkin berat bagi mereka dan ringan bagi aku. Tapi aku pasti tidak akan memaksa sahabat  sahabat ku kerana kekuatan mereka di samping keluarga dan kehidupan peribadi mereka adalah yang menjadi keutamaan bagi ku..

Dan aku ingin berpesan supaya kalau kita rasa kita down tolonglah jangan down kan orang lain.. Sentiasa lah kita muhasabah diri kita balik adakah tindakan dan perbuatan kita itu memberikan aura yang positif kepada sahabat sahabat lain yang menghadapi permasalahan yang sama..

HIV / AIDS tidak membunuh... Tetapi stigma dan diskriminasi yang datang dari DIRI KAMU SENDIRI YANG SEBENARNYA MEMBUNUH KAMU!

Selalulah ingat pada Allah, jaga solat 5 waktu, baca Al Quran.. 


BAGAIMANA KAMU MAHUKAN KEKUATAN DALAM HIDUP INI KALAU KAMU LUPAKAN ALLAH?


Psychonuts
6 March 2013
1.50 pm
My Desk

Thursday, 6 December 2012

JANGAN REBAH!


Kalaulah bumi ini mampu untuk berkata kata pastinya ia telah menjerit dengan begitu kuat sekali lantas membuatkan semua penghuni dunia ini yang mana terdiri daripada semua hidupan akan terus terkejut dan mati.. Hancur binasa akibat rasa ketidak puashati bumi atas sikap manusia yang berjalan dengan penuh ego dan lagaknya seolah olah mereka lah yang paling mempunyai kuasa atas segalanya. Kadangkala manusia sering lupa bahawa ada kuasa yang lebih besar dari segala galanya. Walaupun di dalam hati mengaku akan kehebatan Maha Pencipta tapi rasa tawaduk itu jarang dizahirkan dengan apa yang dibuat sehari hari. Ini adalah satu gambaran terhadap hidup kita sehari hari.. Lantas rasa tidak puashati bumi muncul dengan gegaran gempa bumi, angin ribut dan taufan yang terus meragut begitu banyak nyawa manusia.. Kita terkadang memujuk hati dengan menyatakan bahawa segalanya adalah akibat angin monsun, perubahan plate bumi atau yang paling popular adalah kerana 'global warming'. Ni adalah satu perkara @ subject  yang biasa dilontarkan untuk menidakkan hukuman Allah pada kita.

Manusia sering diperingatkan dengan pelbagai kejadian dan hikmah yang nyata di depan mata. Kadang kadang dijelmakan rasa itu di dalam hati untuk kita sebagai hamba merasakan rasa keinsafan supaya membekas. Hati walaupun fizikalnya sangat lembut tapi bisa menjadi sekeras batu malah lebih dari itu jika tidak sering disirami dengan zikir dan ayat ayat al quran. Bila hati sekeras kerikil membuatkan kita tidak lagi memandang segala hikmah yang ada di depan mata walaupun telah diberikan ujian yang hebat terutamanya sakit dan kecelakaan yang menimpa.

Jadi nyatanya ujian yang Allah berikan pada kita tidak memungkinkan seseorang itu akan berubah dan terus meninggalkan segala maksiat yang selama ini yang menjerumuskan diri kita ke lembah maksiat. Ini bukanlah satu perkara yang pelik dan mustahil kerana ujian Allah kadang boleh mendekatkan diri pada Allah dan dalam ujian itu ada juga yang twrsungkur lalu jatuh.. Rebah tali bangkit semula lebih baik dari rebah dan terus tidak mah bangkit. Banyak sahabat sahabat kita yang diuji putus asa untuk bangkit semula dan rasa selesa berada dalam kemurkaan Allah. Bila ditanya kenapa tidak mahu bangkit semula dan kembali ke jalan Allah, hanyalah rasa malu dan putus asa dengan Allah sedangkan masih tidak tahu malu menyedut udara pemberan Allah, memakan rezeki yang dikurniakan Allah dan menumpang di bumi yang diciptakan Allah tapi tetap masih lagi mahu menjadi manusia yang kufur nikmat.

Seringkala kita berkata dan sedar bahawa Allah itu Maha penerima taubat. Berkali kali melakukan dosa selagi tidak syirik kepadaNya, dosa it akan diampunkanNya. Tapi sering sahaja kita merasakan putus asa dan harap pada Allah. Kita enggan bertaubat kerana merasakan diri kita kotor dan tak layak untuk menadah tangan lantaran hidup sebagai manusia @ hambaNya yang derhaka. Kita sedar hakikat Allah lah tempat kita bergantung dan pengharaan yang terakhir. Tapi kenyataannya tindakan kita tidak membawa kepada apa yang kita sebutkan.

Bila rebah bangkitlah semula.. Bila rasa dalam taubat itu esoknya kita kembali kerjakan maksiat bila teringkat kembali bertabatlah.. Biar beribu kejahatan kau buat dalam sehari asalkan jangan hilang rasa berdosa di dalam hatimu..

Dunia ini akan selalu mengejar kita.. Peliknya dalam episod kejar mengejar ini kita akan lalai dan terlupa dan langsung tidak lelah sekiranya kita terlalu asyik dalam permainan ini. Hanya orang yang diberikan petunjuk akan mula rasa lelah dengan episod kejar menegjar ini kerana terjaga setelah melihat pesona dunia yang memerangkap diri. Beruntunglah mereka seandainya mula sedar dalam permainan ini.

Namun bila akhirnya kita sedar, jangan rebah.. Kuatkan kaki melangkah kerana jalan ini masih jauh... Tapi semuanya akan terhenti bila ke bali kepada Maha Pencipta.. Allah yang maha esa.. 


Psychonuts
2.54pm
7 Disember 2012

Monday, 5 November 2012

Mujahadah Menentang Nafsu [Pertarungan Seksualiti]

Assalamualaikum sahabat semua. Sebelum meneruskan penulisan kali ini nak lah saya berikan satu situasi kejadian. Depan mata kita ada seekor harimau yang menyinga nak membaham kita, sedang kat kaki ada seekor lipan yang menunggu masa untuk menyengat kita. Ketika itu kita lebih memikir bahaya lipan atau bahaya harimau? Logiknya kita akan terus memikirkan bahaya harimau yang di depan mata daripada lipan yang berada di bawah kaki kita kan?

Macam tu lah hakikat nafsu. Kalau nak dibandingkan dengan bahaya nafsu dengan pelabagai bahaya yang ada kat dunia ini, bahaya nafsulah yang paling besar sebab akan buat kita tersangkut di akhirat nanti. Selain tu hidup di dunia pun tak rasa bahagia. Akan diburu rasa bersalah dan rasanya macam semua perkara yang dibuat tak mendapat rahmat Allah.

Isu seksualiti kalau melibatkan perkara yang berkaitan seperti hubungan antara lelaki dan perempuan (normal) mungkin senang sungguh penyelesaiannya. Yer lah kan kalau susah susah sangat terus di kahwinkan sahaja. Benda yang halal kenapa kita nak susah susah pula. Kalau yang tak nak kahwin dan memang nak hidup dengan cara yang tak diredhai Allah tu memang sengaja lah. Tapi apa yang saya nak sentuh kat sini adalah isu yang berkaitan kecelaruan seksualiti. Mujahadah nafsu bagi kumpulan yang menghadapi isu seksualiti adalah yang paling susah sekali untuk dipermudahkan.

Menghadapi dugaan dalam isu seksualiti perlu diterkesampingkan daripada isu lain. Pertarungan melawan nafsu bagi kumpulan LGBT sangat mencabar. Selagi tidak berada dalam kelompok ini kita tak berhak untuk bercakap tanpa memahami penderitaan yang ditanggung. Jangan ingat oleh kerana tidak mengikut nilai dan norma normal kehidupan maka yang terlibat memang langsung tidak memikir bagaimana hendak menghilankan perasaan ini dan ingin kembali kepada fitrahnya.

Kadang lewat dinihari ku peluk kitab suci Al Quran, dengan tangisan menggila sambil menekan nekan dadaku supaya sesak dengan ayat Allah dan menjerit "Allahu Allahu" meminta pertolongan pada Allah yang Maha Esa supaya kawallah diri, kuatkanlah diri, janganlah kau biarkan aku tersasar.. Melolong lolong hati menjerit "Tolong aku Ya Allah!.. Tolong aku Ya Allah"...

Memang susah untuk sekadar menjadi seorang yang hipokrit dan meneruskan kehidupan dengan terus menipu diri dan mencari pasangan hidup dan berkahwin sedang akhirnya akan mengecewakan bukan setakat suami / isteri yang dikahwini tapi yang lebih hina bila zuriat yang lahir tak mengenal apa menjadi mangsa kepada keputusan yang dibuat oleh orang tuanya.

Mujahadah melawan nafsu adalah seperti berperang dengan diri sendiri. Ibarat berada di medan peperangan seorang diri dan kita lengkap dengan pakaian perang dan senjata yang penuh tetapi kita langsung tak nampak mana musuh kita? Kita berjalan ribuan tahun melangkah mencari musuh itu di serata pelosok dunia tapi tetap juga tidak nampak.. Akhirnya kita penat dan semangat juang makin luntur dan kita terjelopok keletihan. Ketika kita dalam keletihan itulah baru musuh itu datang tapi tetap tidak nampak. Ketika itulah kita akan tewas kerana sudah hilang rasa hati hati kita.. 

Begitulah kalau nak diibaratkan peperangan dan pertarungan kita dalam menentang nafsu ini. Kita sedikit pun tidak boleh lupa dan lepa dengan situasi dan keadaan. 

Susah.. memang susah.. kalau tidak berada dalam kelompok ini usahlah bercakap dengan yakin yang perkara ini senang untuk diatasi. Perjuangan untuk menentang nafsu bukanlah perkara yang mudah. Nabi Adam A.S tercampak ke dunia kerana godaan syaitan sedangkan Baginda seorang Nabi. Apatah lagi kita ini hanyalah manusia biasa yang celik2 mata sahaj telah buat dosa. Kekuatan dan kekebalan hati dalam mujahadah menentang nafsu sangat perit.

Jangan ingat kita tiada keinginan ingin berkahwin. Tapi apalah ertinya jika sekadar berkahwin untuk menutupi kelemahan diri sedangkan banyak lagi kefahaman tentang tanggungjawab tidak difahami. Namun jika sudah ada kekuatan dan kita menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah maka Insyaallah semuanya akan menjadi mudah. Isu berkaitan bagi seorang yang menghadapi ujian hidup seperti MSM PLHIV yang ingin berkahwin langsung tidak berkait apa apa kerana telah dijelaskan dalam banyak diskusi dan entru di blog AKUHIVPOSITIF tiada masalah untuk meneruskan perkahwinan.

Bagi ku selagi berada dalam jemaah dan dikelilingi oleh sahabat sahabat yang sentiasa memperingatkan diri untuk berserah diri pada Allah pasti akan menguatkan diri kita. Ingat, seberkas lidi tidak mudah dipatahkan berbanding lidi yang sebatang. Sekumpulan biri biri tidak mudah diserang musang berbanding seekor biri biri yang berada di tengah padang. Namun begitu perlulah memilih...

Memilih? Pilihlah mereka yang mendekatkan diri pada Allah.. Pilihlah dan dekatilah para Ustaz, para Ulama'.. Pergilah mendalami ilmu agama di surau di masjid.. 

Cubalah kawal diri daripada membuka laman web porno... cubalah sekatkan diri daripada menaip laman web sosial yang memang tujuannya membawa ke arah itu... sekatlah.. cubalah...

Tapi seandainya kau tewas, teruslah bertaubat... Mujahadah kembali... Allah maha penerima taubat...

Jika kau tewas, kembali lagi pada Allah... tewas lagi? kembali lagi padaNya.. sesungguhnya Dia maha penerima taubat...

Asalkan jangan hilang rasa berdosa dalam hatimu....


Psychonuts
6.40pm
@ Sejadah burukku..

Saturday, 27 October 2012

Mendepani Dugaan & Mehnah Ujian.. [Dalam kesulitan ada rahmatNya]


Aidiladha muncul kembali. Bila melhat di kaca TV bagaimana para jemaah haji amat excited dalam mengerjakan ibadat haji airmata ini berlinangan dan mencurah curah turun. Walaupun Allah telah memberikan kesempatan kepada aku untuk mengerjakan Umrah namun aku masih mengharapkan agar diberikan kesempatan menunaikan haji yang merupakan rukun Islam ke 5 yang waib dikerjakan jika mampu. Walaupun aku telah membuat rayuan dan agak berani dengan mengisytharkan bahawa rahsia sakit aku ini namun aku yakin bahawa jika ada rezeki dan memang takdir Allah maka aku pasti akan dijemput olehNya untuk mengerjakan haji. Lagi pula aku telah membaca senarai jenis sakit yang tidak dibenarkan menunaikan haji. Tapi Alhamdulillah tidak lah tergolong dalam golongan itu. Cumanya bila ada sedikit masalah stigma dan diskriminasi mungkin akan memberikan masalah kepada aku. Tapi berbalik kepada konsep percayakan Qada dan Qadar dan takdir yang telah Allah tetapkan aku sering memanjatkan doa agar diberikan kemudahan. Terlanjur itu aku ingin berkongsi doa yang boleh kita doakan jika dilanda kesulitan dan mohon agar dipermudahkan iaitu :

"Allahumma yassir wala tu assir waatmin bil khoir. Birohmatikaya arhamarrohimin"
(Ya Allah permudahkanlah urusanku jangan disulitkan. Ya Allah akhirilah urusanku dengan baik dengan rahmantMu yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang)

Sejak dipertemukan dengan sahabat sahabat dalam Positive Warriors (PWSG) dan menrut satu kursus motivasi di Pangsun oleh JAKIM aku merasakan semakin kuat. Semangat juang yang kadang luntur ini tiba tiba mencanak naik.. Masyaallah aku terasa sedikit kejutan kerana aku selama ini rasa seperti berjuang seorang diri. Walaupun medan ku tidak sama terutama dalam dakwah PWSG dan group Usrah ku tapi nampaknya tujuannya tetap sama. Alhamdulillah aku mendapat sokongan yang bukan sedikit dan banyak program yang berjalan banyak dihadiri oleh sahabat PWSG sendiri. Ini tentunya dengan berkat sokongan dari otai PWSG , AHP Positif yang merupakan admin di blog AKUHIVPOSITIF.

Aku agak bangga dengan sahabat sahabat yang berjuang untuk menamatkan diskriminasi dan stigma dalam diri mereka sendiri dalam mendepani ujian dan mehnah yang datang. Pernah aku lihat beberapa sahabat dalam PWSG yang pada mulanya keberatan untuk meletakkan wajah mereka dalam Facebook tapi selepas program tersebut mereka makin kuat. Aku amat berbangga dengan sahabat sahabat ku ini, Rasa seperti kurang beban yang ditanggung oleh beberapa sahabat lama berjuang seperti AHP Positif dan Luka Rafieqa (Sekadar menyebut beberapa nama).

Aku percaya kewujudan PWSG memberikan harapan dan sinar untuk ODHA. Dan aku selaku sahabat yang berjuang dalam platform yang berbeza akan terus memberikan sokongan kepada PWSG dalam perjuangan ini. Walaupun platform berbeza matlamat kita sama dan yang paling penting mencapai matlamat kita.

Kita adalah satu, kita sama, kita menyembah Allah yang satu.. Tamatkan diskriminasi dan stigma dan perkuatkan saf dan jemaah kita.. Insyaallah..

Wednesday, 22 August 2012

Takutkah Aku Untuk Berubah? [Perubahan Pertama Memang Menyakitkan]

Assalamualauikum dan salam Syawal Aidilfitri pada semua pembaca blog Aku & Dunia. Sepanjang merayakan Syawal yang mulia ini nampaknya banyak sahabat kita yang gembira meraiaknnya termasuk brother - brother Positive Warriors yang nampaknya hebat berkunjung ke rumah sahabat sahabat dan juga keaktifan iron lady Sis Meella Musa yang pada ramadhan lalu berjaya mewujudkan rumah Wahidayah untuk komuniti wanita - nampaknya sangat ceria tahun ini. Sebagai sahabat sahabat yang menyokong usaha para sahabat dalam komuniti untuk kebajikan, kita sentiasa mendoakan agar usaha sahabat sahabat semua akan diberkati Allah dan mencapai kejayaan seperti yang kita harapkan. Masih belum terlambat untuk memperoleh peluang kedua dan pastinya peluang kedua itu sentiasa ada pada hambaNya yang selalu mengharapkan redha Allah. Insyaallah.

Terlanjur memulakan perkongsian baru sempena syawal ini teringin untuk mengkontradaksikan satu frasa ayat iaitu "TAKUTKAH AKU UNTUK BERUBAH?". Sebenarnya rentetan kepada perkongsian ini setelah saya membaca satu artikel yang bertajuk TAKUTKAH AKU. Membaca titik perubahan yang ingin dibuat oleh seorang muslimah ini membuatkan aku terfikir bahawa apa yang dialami oleh gadis ini hanyalah satu perkara biasa yang dilalui oleh kebanyakan orang. Tapi bagi mereka yang berada dalam lingkungan komuniti mahupun beberapa sahabat yang sering meluahkan masalah dalam email dan privately aku rasakan bahawa apa yang dialami oleh komuniti adalah lebih mencabar. Namun demikian apa yang ku lihat ada yang terus berubah 100 % dan ada juga yang berundur 100%. Ini yang amat mengharukan. Sekiranya perubahan itu menuntut kepada jalan yang baik dan diredhai Allah itu adalah 1000 hikmah yang Allah berikan kepada kita.


Satu masa dahulu ketika mula diberikan ujian pastinya ramai yang berkongsi rasa dengan ku. Ketika itu pastinya dunia dirasakan gelap, tiba tiba kita teringat Allah. Benar, sekiranya ada sedikit iman di hati kita pastinya kita akan terus mengangkat tangan berdoa atau paling kurang pun berbisik dalam hati "Ya Allah" dan lantas kita mendirikan solat dan memohon petunjuk. Ramai juga yang aku melihat terus secara drastik mengambil pendekatan terus menolak dunia dan merintih rintih sedih dan asyik bercakap soal sebentar lagi atau esok akan mati. Mengingati mati itu satu perkara yang amat dituntut dalam agama kerana Allah sendiri telah berfirman  "Setiap yang bernyawa pasti akan mati " (Al- Anbia : 34)

Namun yang demikian turut dinyatakan Rasulullah dalam maksud larangan meminta mati kerana dilanda musibah atau masalah :

"Jangan sesekali seseorang daripada kamu bercita-cita hendak mati kerana sesuatu bencana yang menimpanya; kalau keadaan mendesaknya meminta mati, maka hendaklah ia memohon dengan berkata "Ya Tuhanku, hidupkanlah daku selagi hidup itu lebih bagik bagiku, dan matikanlah daku apabila mati itu lebih baik bagiku " (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Peringatan ini secara jelas menolak kita daripada terus bersedih akibat dugaan dan masalah yang menimpa kita. Saya juga sering dihujani email dan chat dengan sahabat yang baru didiognis yang sering memandang semua yang terjadi pada sudut negatif. Walaupun hanya sakit tekak sedikit sebab duduk dalam air cond lama sikit dah dikatanya nak meninggal dunia dah ni sebab sakit dia. Sifat dan sikap terlalu memandang negatif dan memikirkan perkara yang bukan bukan secara psikologinya akan terus menurunkan kadar CD4 anda dan seterusnya akan terus meletakkan situasi kesihatan atas kesakitan palsu itu menjadi asbab kepada jatuhnya kualiti kesihatan kita. Bila ini terjadi tiada siapa yang akan dapat memabantu anda kecuali diri anda sendiri. La Tahzan sahabatku...

Ingat ya sahabat, sebagai seorang mukmin kita dilarang keras meminta mati kerana bosan dan tidak tahan menanggung sesutu bencana yang menimpa sebaliknya kita mesti menanamkan dalam hati bencana itu sebagai satu ujian penghapus dosa dan menerimanya dengan redha. Ujian itu adalah kaffarah iaitu penghapus dosa dan kesalahan orang yang ditimpa bencana itu dan Allah menyeru kita menghadapinya dengan sabar kerana pastinya kesabaran itu ada ganjarannya. Allah yang bersfiat Maha Pengasih dan Penyayang tidak akan membiarkan hambaNya dalam kesusahan selagi hambaNya berserah diri dan bertawakal kepadaNya dalam apa jua keadaan.

Jadi dalam persoalan untuk berubah, wajarlah kita sebagai hambaNya mengambil pendekatan dengan meninggalkan apa jua yang dilarangnya. Seandainya kaffarah yang menimpa kita ini atas kesilapan kita pada masa dahulu melakukan kesilapan dan dosa dosa maka jadikanlah sebagai pengajaran dan tinggalkanlah semua itu. Fikirlah bahawa ujian yang datang ini merupakan satu peringatan dan nasihat dari Allah yang mahu kita meninggalkan apa yang dilarangnya. Seandainya kaffarah ini bukanlah berpunca dari kita tetapi oleh kerana kesilapan orang lain maka anggaplah bahwa ini adalah tanda Allah amat menyayangi kita dan merindukan suara kita merintih dalam doa di malam hari dalam titisan air mata yang memohon kepadaNya. 

Jangan sesekali kita berpusing 360 darjah pula dengan menegakkan prinsip Hak Kebebasan Manusia atapun manusia bebas memilih cara hidupnya. Saya juga sering berdepan dengan isu mereka yang agak tidak bersetuju dengan cadangan berkaitan berdepan dengan isu seksualiti seperti pejuang LGBT. Saya akan memilih untuk tidak berdebat sebaliknya sebaik baik jalan adalah kembali pada hidup beragama. Dan pastinya dalam isu ini saya menyerahkan bahawa pendekatan Islam adalah yang terbaik dan  percaya dalam agama lain juga menjelaskan perkara yang sama.

Jangan takut untuk membuat perubahan. Pilihan di tangan anda.. Benar syurga dan neraka di tangan Allah tetapi apa jua tindakan dan pilihan kita itu juga yang akan menentukan syurga atau neraka.. Biarlah kita hidup dalam syurga dunia dan syurga akhirat nanti. Menutup perkongsian kali ini mari kita renungi Sabda Rasulullah S.A.W :

"Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dicarinya atau kerana perempuan yang mahu dikahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujui itu". 

Wallahualam


Psychonuts
9.42 am
23/8/2012 
My Desk

 

 

Friday, 17 August 2012

Ketemu lagi Syawal itu... [Peristiwa paling bermakna - turning point ku bermula]

Assalamualaikum dan selamat sejahtera pada sahabat pembaca blog aku yang budiman. Alhamdulillah nampak gayanya kita akan menyambut Hari Raya Aidilfiri pada hari Ahad 19 Ogos 2012 pada tahun ini walaupun aku mendengar khabar yang Golok, Thailand dah pun mula beraya pada 18hb Ogos. Entahlah banyak sangat mazhab aku pun tak tahu.. Yang nyatanya memang kita biasanya ikut macam Mekah punya waktu raya.

Ketibaan Syawal pada tahun ini membuatkan aku teringat dan mengimbas kembali detik detik ketika semuanya berubah dalam keluarga aku 3 tahun yang lalu. Pada ketika itu aku sangat berperang dengan perasaan kerana baru sahaja didiagnos oleh doktor di HSB setelah buat ujian rapid test di pejabat PT Foundation. Dalam 2 - 3 bulan itu yang tahu tentang kondisi dan situasi kesihatan aku hanyalah bekas tunangan ku dan juga beberapa sahabat baik ku yang juga merupakan office mate aku. Aku cuba sedaya upaya menyembunyikan kesedihan dan rasa perit di hati dan apatah lagi bila sayu melihat wajah kekasih ku yang berterusan asyik bersedih dan menangis walaupun dia kata dia redha dengan apa yang terjadi.


Pernah satu ketika sebelum masuk bulan Ramadhan tahun ini di TV menayangkan sebuah filem bertajuk PENSIL. Filem itu tak lah sedih sangat tetapi masa itu aku menangis sungguh2 sampai ibu ku yang duduk di sebelah aku terpinga pinga sebab dia tahu sangat aku takkan layan cerita sedih sedih kat TV ni. Ex aku pulak masa tu dah tahu jadi dia paham sangatlah kenapa aku menangis. Bukan lah sedih sangat cuma bila setiap kali terpandangkan wajah ibuku rasa sayu dan semangat bagai direntap rentap. Terpaksa menyembunyikan sebuah rahsia yang amat besar dan aku sendiri tak tahu apa penerimaannya.

Sehinggalah pada satu malam hari raya menjelang 1 Syawal, berlaku satu perbalahan kecil dalam keluarga ku hinggakan memungkinkan keluarga kami berpisah pada malam itu. Aku yang sedaya upaya meleraikan persengketaan dan permasalahan itu rasa amat tertekan apabila masing masing dengan ego cuba untuk menang dan akhirnya dalam kesedihan dan tidak sedar aku telah menjerit dan tak semena mena apa yang aku ingat kata kataku "Semua orang pentingkan diri sendiri sampai abang yang dah nak mati ni semua buat tak tahu!!" 

Ketika itu teriakan aku mula menggila.. Semua ahli keluarga aku senyap dan seolah olah malaikat lalu. Dalam kesejapan begitu lancar aku memberitahu apa yang terjadi pada aku dan pada mulanya agak tersekat sekat hinggalah ibuku sendiri yang dapat mengagak. Tentulah ibu dapat mengagak kerana dia tahu bagaimana sejarah masa silamku dahulu.. Malam itu juga tak silap aku adik bongsu aku dikejarkan ke hospital kerana pengsan sebab sedih dan sesak nafas akibat asma kerana terlalu sedih dengan berita ini. Adik bongsu aku ini terlalu rapat dengan ku dan dia seolah olah tidak dapat menerima kenyataan. Sepanjang malam kami di unit kecemasan hospital dan aku rasa amat bersalah kerana disebab kan perkara ini adik aku nyaris maut kerana kata doktor dia dalam keadaan kronik malam itu sebab terlalu stress. Tapi alhamdulillah menjelang Subuh semuanya kembali normal dan adik dapat diselamatkan.

Pagi raya itu rumah ku seolah olah senyap dan hilang cerianya. Saat bersalaman aku melihat wajah Ayah yang termenung di sana sini, mata ibu yang bengkak, wajah adik yang kusam, adik ipar aku yang berkaca kaca matanya dan adik bongsu ku yang lesu. Itulah pagi raya yang amat memeritkan bagi aku. Tapi ibu yang ku ingat 24 jam asyik memaut lenganku dan asyik meletakkan kepalaku di pehanya dan mengusap ngusap kepalaku. Rasanya keadaan itu berterusan hampir sebulan sehinngga akhirnya semua redha dengan ketentuan Allah dan mujur adik aku seorang jururawat amat memahami dan mula menerangkan kepada keluarga ku tentang pengetahuan asas mengenai sakit ini.

Masa berlalu pantas dan kini sudah masuk Syawal ke 3 setelah rahsia ini terbongkar. Apa yang dapat aku katakan aku bersyukur dengan apa yang terjadi pada peristiwa itu. Dengan peristiwa itu aku dapat menyelamatkan rumahtangga Ayah dan Ibu dan sekaligus lebih mengeratkan kasih sayang mereka dan adik adik aku kembali bersatu dan keluarga kami menjadi sangat rapat dan mesra. Sebelum ini semua itu amat mustahil tetapi rupanya hikmah yang Allah berikan ialah kami menjadi satu keluarga yang amat gembira sekarang. Ibu dan Ayah semakin memahami, adik beradik memberikan sokongan, adik adik ipar semua sentiasa menyokong aku dan kadangkala membeli supplemen untuk aku dan sahabat sahabat semua amat mengambil berat.

Dan yang paling penting, bermula dengan seorang yang  lemah aku menguatkan diri dan cuba menjadi sebahagian daripada pasukan POSITIVE WARRIORS untuk menguatkan diri sahabat sahabat lain yang turut mengalami situasi yang sama. Alhamdulillah hingga kini keluarga terutama Ibu amat menggalakkan aku memberi pengetahuan tentang penyakit ini dan dia suka aku terlibat dalam komuniti supaya dapat membantu orang lain. 

Memang aku tak pernah sangka bahawa rupa2nya hikmah Allah sangat besar. Walaupun aku terpaksa melepaskan bekas tunangan ku kepada orang lain namun hanya Allah yang tahu betapa aku amat memahami hantinya dan dirinya yang tak mungkin dapat menerima sepenuhnya keadaan ini. Walau bagaiamanapun aku amat memuji dirinya kerana tak pernah bertanya apakah puncanya penyakit ini sebab katanya dia nak tahu siapa aku sekarang dan bukan aku yang dulu. Jodoh ajal dan maut ketentuan Allah dan aku yakin Allah hendak beri sesuatu yang baik untuk aku.

1 Syawal mula menjelma lagi.. Sudah 3 tahun perkara itu berlalu.. Dan aku mula memahami hakikat diri ini.. Dan aku bersyukur kerana Ibu, Ayah dan Adik adik semua adalah tulang belakangku dalam meneruskan kehidupan ini.. Itu lah titik turning point aku..Semoga Syawal akan selalu memberi kan aku kekuatan dan sinar baru dan pastinya 1 Syawal akan ku kenang selalu hingga ke akhir hayatku... 

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin sahabatku semua... :)

Psychonuts
1.06 am / 18 Ogos 2012
Di pangkuan ribaan ibu.. di teratak Bonda

Monday, 6 August 2012

Bukan Ini Yang Ku Minta [Luahan puisi pada insan kesayanganku]

Bukan Sayang
Bukan ini yang ku minta..
Tapi kerana kekhilafan dahulu membuatkan aku menghadapinya
Kerana mengikut kata nafsu ini balasannya
Tidak aku melupakanmu..
Namun ketika itu kau belum hadir menghias taman hatiku

Bukan Emak
Bukan ini yang ku minta..
Tapi kerana selalu ingkar mendengar katamu..
Terlalu mengikut kata hati dan tidak menturuti apa yang engkau fikirkan baik untukku..
Lantas aku menjadi anak derhaka..
Tapi dalam diri yang sedang tersungkur engkau tega memaut tanganku
Engkau papah ku menuju jalan redhamu..

Bukan Ayah
Bukan ini yang ku minta..
Tapi kerana kerap benar merasa diriku benar..
Ego ku padamu mengatasi kesedaranku atas rasa kasih mu
Namun dalam kerterbatasan masa ini,
Engkau sayu memandang wajahku dan tanpa ku sedar
Tanganmu sentiasa memanjat doa pada Allah supaya anakmu ini tabah dan kuat..
Walau wajahmu sering mengundang ketidakfahamanku..

Bukan Adik
Bukan ini yang ku minta..
Patut aku menjadi teladan bagi kalian
Namun kalian tetap mengkagumi diriku seolah-olah tiada langsung kekhilafan ini
Tidak kalian langsung memandang burukku
Yang ku lihat setiap hari kalian mengingati ku dan memuji diriku
Sedang aku malu memandang muka kalian
Tapi kalian sering mengangkat wajahku dan mencium pipiku..

Bukan Dunia..
Bukan ini yang ku minta..
Namun ku minta engkau memahami.. semua ini tidak ku minta..

Ya Allah
Bukan ini yang ku minta..
Tapi Engkau selayak layaknya tahu apa yang terbaik untukku
Dan akhirnya aku menerima pemberianMu
Kerana ku tahu ini takdir yang ku pinta..


Nukilan :
Psychonuts
1.41 pm
My Desk